Sunday, 30 August 2015

UTM Rasmi Bekerjasama dengan 3 Agensi Pelancongan Tempatan Mempromosikan Pakej "UTM Visit My Campus"

UTM, Johor Bahru- 25 Ogos 2015 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) buat julung kalinya telah menandatangani Memorandum Perjanjian Perkhidmatan Edupelancongan (MoA) dengan 3 agen pelancongan tempatan iaitu SN Vacation Sdn. Bhd., Prima Sierra Holidays Sdn. Bhd., dan Syarikat Masrina Travel Sdn. Bhd. Memorandum ini adalah bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara pihak UTM dan ketiga-tiga agen pelancongan yang dilantik bagi mempromosi dan menggerakkan pakej ekopelancongan bertemakan “UTM Visit My Campus”.

Majlis Menandatangani Memorandum tersebut telah diadakan di UTM yang telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), YBhg. Prof. Dr. Azlan bin Abdul Rahman bagi pihak UTM, En. Chua Poh Kok, Pengarah Urusan Prima Sierra Holidays Sdn. Bhd, En. Mohd Adam bin Haji Jalil, Pengarah Urusan Syarikat Masrina Travel Sdn. Bhd dan Pn. Sharifah Zaharah bt. Syed Ibrahim, Pengurus Operasi SN Vacation Sdn. Bhd. dengan disaksikan oleh Pengarah Kerja, Pejabat Harta Bina (PHB), Prof. Dr. Abd Latif bin Saleh dan Pengarah Tourism Malaysia Johor, En Edzuar Zar Ayob Azari.

Memorandum ini dibuat bagi membolehkan 11 pakej ekopelancongan yang di wujudkan oleh UTM dapat digerakkan secara rasmi dengan kerjasama ketiga-tiga agen pelancongan tersebut. Pakej-pakej yang terkandung dalam “UTM Visit My Campus” ialah Escapade To Nature (3H2M), Eco and Edu in UTM (2H1M) dan UTM Adventure Tour (1H) yang dikendalikan oleh agen Prima Sierra Holidays Sdn. Bhd, sementara agen pelancongan Syarikat Masrina Travel Sdn. Bhd. pula menawarkan pakej-pakej seperti Home Away From Home (3H2M), Edutainment Tour (3H2M), UTM & Johor Getaway (2H1M), Ecotourism & Homestay Experience (2H1M) dan Science Exploration & Ecotourism Tour (1 H). Bagi agen SN Vacation Sdn Bhd pula menawarkan pakej-pakej menarik seperti Day Trip Junior Campus Tour (1/2 H), Ecotourism Campus Adventure & Leisure (2H1M) dan Campus Nature & Beauty (2H).

UTM memilih ketiga-tiga agen pelancongan tempatan yang berprestij tersebut bagi mempromosikan pakej ini dengan kerjasama daripada pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) melalui Pejabat Tourism Malaysia Johor serta nama-nama pakej yang dipilih adalah berdasarkan kepada kesesuaian nama yang disetujui bersama antara UTM, Tourism Malaysia Johor dan ketiga-tiga agen. Agen-agen pelancongan yang dipilih mempunyai pengalaman luas mengendalikan lawatan secara berpakej antaranya ialah Prima Sierra Holidays Sdn. Bhd. yang telah memenangi 2 kali Anugerah Pelancongan Negeri Johor pada 2009 dan 2012. SN Vacation Sdn. Bhd. pula yang telah ditubuhkan sejak 2001 telah diberi peluang lebih luas oleh MOTAC untuk memasarkan pakej pelancongan tempatan di luar negara. Sementara Syarikat Masrina Travel Sdn. Bhd. yang telah ditubuhkan pada 1978 merupakan agen pelancongan tertua ditubuhkan dan telah mempunyai pengalaman mengendalikan pelancongan hampir 3 dekad.

UTM merupakan satu-satunya universiti pertama yang memperkenalkan inisiatif Kampus Ekopelancongan sejak 2009 dan dilancarkan oleh Mantan Naib Canselor UTM (kini Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia), YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Pakej “UTM Visit My Campus” merupakan kesinambungan kepada Pakej Lawatan Sekolah UTM sebelum ini (kini telah dimansuhkan dengan pelaksanaan pakej terkini) yang ditambahbaik bagi meluaskan peranan UTM menjadi salah sebuah universiti berkonsepkan Edupelancongan.

Pakej “UTM Visit My Campus” diwujudkan dengan mengambil kira pelbagai lokasi dalam kampus UTM Johor Bahru yang dipilih secara teliti dan memenuhi beberapa kriteria ditetapkan oleh jawatankuasa pemilihan iaitu mempunyai nilai-nilai kebolehpasaran dan identiti UTM yang tersendiri, memiliki keunikan yang khas serta kekuatan disiplin akademik yang ditawarkan oleh UTM dan mempunyai tarikan tersendiri dari perspektif pelanggan luar yang berpotensi mengikut segmentasi golongan.

Menerusi pemilihan teliti yang dilakukan, beberapa lokasi dalam kampus UTM Johor Bahru telah dipilih untuk dimasukkan dalam senarai “mesti lawat” menerusi pakej edupelancongan “UTM Visit My Campus 2015”.

Lokasi-lokasi tersebut adalah merangkumi Hutan Rekreasi, Balai Cerapan, Taman dan Rumah Tropika, Institut Pembangunan Bioproduk, Taman Ekuin, UTM Trails, Taman Rusa, Dusun dan Ladang, Tasik Ilmu dan Desa Bakti, Makmal Pengurusan Marin, Makmal Aeronautik, Pusat Inovasi Mahasiswa, Pusat Kecemerlangan Inovasi Media dan Permainan (MaGIC-X), Golf Driving Range sementara Scholar’s Inn dan Kediaman Kolej Tun Ghafar Baba (Penginapan).

UTM juga baru-baru ini telah dinobatkan sebagai juara dalam kategori EduTourism bagi Anugerah Penghargaan UCTC bersempena Pameran Higher Education Week Malaysia (HEWM) 2015 yang buat julung-julung kalinya telah dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) pada 14 Ogos 2015 di Dewan Zaaba, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan telah berjaya mengalahkan 2 finalis akhir lain iaitu UPM (Edu Park) dan UKM. Menerusi kemenangan ini, UTM telah membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta plak dan sijil pada majlis tersebut.

Pakej-pakej ekopelancongan UTM juga turut dimasukkan di dalam buku “Malaysia 101 Edutourism Packages” bersama-sama universiti awam lain yang diterbitkan oleh pihak Tourism Malaysia. Risalah tersebut telah dilancarkan pada 15 Ogos 2015 bersempena Majlis Pelancaran Pakej 101 Edutourism Malaysia di Dataran KPT, Putrajaya.

Unit Kampus Ekopelancongan UTM Menjuarai Anugerah Penghargaan UCTC 2015





Sukacita dimaklumkan bahawa UTM telah terpilih sebagai johan dalam kategori EduTourism bagi Anugerah Penghargaan UCTC bersempena Pameran Higher Education Week Malaysia (HEWM) 2015 yang buat julung-julung kalinya telah dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) pada malam semalam di Dewan Zaaba, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Menerusi tema projek “UTM Visit My Campus 2015” yang disertai oleh Unit Kampus Ekopelancongan, UTM telah berjaya disenaraikan sebagai finalis akhir bersama-sama dua lagi universiti awam yang turut menyertai pertandingan tersebut iaitu UPM (Edu Park) dan UKM.

Sebanyak 11 bidang dipertandingkan dalam anugerah ini termasuklah EduTourism bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada program-program komuniti-universiti yang cemerlang dalam mengaplikasikan prinsip-prinsip NBOS iaitu Impak Tinggi, Kos Minima (Keberkesanan Kos), Pelaksanaan Pantas dan Mampan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bertujuan menyumbang ke arah peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat dari segi sosio-ekonomi, pendidikan, kesihatan, persekitaran, teknologi dan lain-lain. 

Sebanyak 150 pencalonan telah diterima dari pelbagai pihak untuk 11 bidang tersebut dan hanya 25 sahaja yang telah berjaya disenaraipendek sebagai finalis.

Menerusi kemenangan ini, UTM telah membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta plak dan sijil pada majlis tersebut.

Terdapat 11 pakej edupelancongan UTM yang telah berjaya menambat hati panel juri menerusi kerjasama dengan 3 agen pelancongan tempatan iaitu SN Vacations Sdn Bhd, Prima Sierra Holidays Sdn Bhd dan Masrina Travel Sdn Bhd.

Pakej-pakej ekopelancongan UTM turut dimasukkan di dalam Buku “Malaysia 101 Edutourism Packages” bersama-sama universiti awam lain yang diterbitkan secara bersama oleh KPT dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC). Buku tersebut dilancarkan pada 15 Ogos 2015 bersempena Majlis Pelancaran Pakej 101 Edutourism Malaysia di Dataran KPT, Putrajaya.


Sekian, dimaklumkan. Terima kasih.

Selamat Hari Kebangsaan Malaysia 2015


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...